Salam Pembuka Bicara

Selasa, 20 September 2011

iluvislam-Hadiah Perkahwinan Senaskah Al Quran

Apabila disebut tentang Mas Kahwin, kebanyakan wanita kini hanya memikirkan jumlah atau nilai wang yang ditetapkan untuk Mas Kahwin mereka. Kalau diikutkan, nilai Mas Kahwin berbeza mengikut negeri asal wanita yang ingin berkahwin.
Kadang-kadang tidak sampai ratusan ringgit. Namun pada trend kini, kebanyakan meletakkan Mas Kahwin mengikut kemahuan atau kemampuan pasangan masing-masing. Bukan apa, itu disimbolkan sebagai hadiah kepada wanita atas kesediaannya untuk menerima bakal suami untuk hidup bersama.
Sebagaimana firman Allah:
"Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu Mas Kahwin mereka." [Surah an-Nisa, Ayat 4]
Selain Mas Kahwin, ia juga disebut sebagai Mahar. Hukumnya adalah wajib. Pada zaman Rasulullah S.A.W dahulu Mas kahwin dibayar dengan berbagai cara iaitu rumah, kebun, mengajar atau membaca al-Quran, mengajar ilmu agama, senaskah kitab al-Quran, sejadah sembahyang, pakaian sembahyang atau sebagainya.
Namun, pada zaman kini masih lagi ada golongan yang mengamalkan cara bayaran Mas Kahwin seperti ini, akan tetapi sangat sedikit bilangannya. Sebenarnya apa yang ingin dibincangkan di sini ialah apakah hikmah memilih senaskah al-Quran sebagai Mahar kepada wanita yang bakal dikahwini.
Sabda Rasulullah S.A.W :
"Carilah untuk dijadikan Mas Kahwin walaupun sebentuk cincin yang dibuat daripada besi." [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Sesuatu yang berguna dan berfaedah seperti wang, barang atau sesuatu yang bermanfaat sangat dianjurkan oleh Islam untuk digunakan sebagai Mas Kahwin. Nyata, al-Quran adalah pilihan yang sangat terbaik sebagai Mas Kahwin kerana kandungan dan isi al-Quran mempunyai gudang ilmu yang sangat luas dan penuh manfaat.
Rasulullah juga pernah mengahwinkan seorang lelaki yang tidak memiliki sesuatu apa pun untuk dijadikan Mas Kahwin, lalu Rasulullah bertanya kepada lelaki itu.
"Adakah pada engkau sedikit dari ayat-ayat Quran?" lelaki itu menyahut bahawa dia ada mengingati beberapa surat (ayat-ayat al-Quran), kemudian Rasulullah pun mengahwinkan lelaki itu dengan bermas kahwinkan surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isteri lelaki itu.
Lihat, mudah dan halus benar maksud Rasulullah. Banyak kebaikan yang kita dapat daripada ajaran Rasulullah S.A.W ini. Si isteri bukan sahaja dapat mempelajari ilmu Allah, malah dapat mempratikkan dan membacanya selalu dan apabila ilmu yang diberi diamalkan oleh orang lain, ternyata bertambahlah pahala si suami yang memberikan ilmu tersebut.
Antara hikmah senaskah al-Quran sebagai Mas Kahwin ialah:
1. Al-Quran lambang teragung dalam agama Islam dan pemberiannya kepada insan lain umpama satu penghargaan yang tidak ternilai kepada kitab suci tersebut. Malah takrif sesuatu perkahwinan itu dapat ditafsirkan melalui pemberian al-Quran sebagai lambang cinta sejati bersyariatkan agama kepada si isteri.
2. Dapat membawa keberkatan seandainya pasangan mengamalkan isi kandungan al-Quran dalam hidup berumahtangga bersama selepas diijabkabulkan.
3. Mendapat kebaikan dan pahala andai si isteri selalu membacanya, bukan sahaja si isteri malah suami yang memberi juga turut mendapat pahala hingga ke Akhirat.
4. Seperti yang kita tahu, emas juga ada kebaikan jika dijadikan sebagai Mas Kahwin iaitu sebagai pelaburan. Namun ia lebih bersifat material dan mungkin akan habis begitu sahaja di dunia. Namun ayat-ayat al-Quran tidak akan pernah habis dan berakhir walau dibaca berulang-ulang kali dan ayat al-Quran tersebut dapat diajarkan kepada anak, cucu-cicit hingga selama-lamanya.
5. Andai si suami telah meninggal dunia, seperti kita ketahui hanya amalan, anak yang soleh serta ilmu yang berguna sahaja dapat membantu di Akhirat kelak. Al-Quran yang diberi kepada isteri insya-Allah dapat memberi kemudahan dan ketenangan di sana.
Tiada apa yang dapat dilakukan oleh seorang isteri melainkan sentiasa berdoa dan melakukan amalan-amalan yang bermanfaat untuk suaminya yang telah meninggalkannya. Andai si isteri sentiasa membaca al-Quran yang diberikan oleh arwah suami sebagai Mas Kahwin, nescaya Allah akan memberi ganjaran yang berganda-ganda kepada roh suaminya.
Begitulah betapa besarnya hikmah memilih al-Quran sebagai Mas Kahwin. Kebaikan dan faedah yang dapat kita perolehi untuk membina sebuah keluarga bukanlah mengambil masa atau tempoh yang singkat, ia mengambil jangka masa yang panjang dan kita perlulah memandang lebih jauh untuk masa-masa akan datang.
Andai ingin kebahagiaan bukan sahaja di Dunia dan Akhirat, marilah menghargai ilmu Allah yang telah dikurniakan kepada kita. Apalah sangat hendak dibandingkan dengan kebahagiaan di dunia yang hanya sementara ini. Yang selalu kita nantikan ialah kehidupan abadi di Akhirat sana kelak iaitu sebenar-benar kehidupan abadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan