Salam Pembuka Bicara

Jumaat, 29 April 2011

iluvislam-sayang kawan perempuan,tinggal tinggalkan

"Sayang, sayang... kenapa kita tak pernah keluar berdua? Tengok diorang tu, pergi mana-mana pun berdua je, sweet kan?"
"Kenapa kita tak macam tu? Kawan honey kan, nak pergi mana-mana mesti boyfriend dia temankan."
"Bukan setakat 'paun', nak pergi 'potostet' pun boyfriend dia temankan. Sweet sangat! Romantic couple! Kan? Kan sayang kan? Mesti diorang tak pernah gaduh, sweetnyeee..."
"Kenapa sayang tak nak keluar dengan honey, teman honey jalan-jalan, shopping... tak macam boyfriend lain buat kat girlfriend diorang? Sayang malu keluar dengan honey ek? Honey tau la honey tak cantik... Hmm..."
*** IKLAN ABIS, TAPI SEBAB TAK SANGGUP TENGOK CERITA TERSEBUT, TUKAR CHANNEL ***
"Ustaz, boleh tak sebenarnya lelaki dan perempuan keluar berdua? Tak kisahlah diorang couple ataupun tidak. Boleh tak?"
"Keluar sebab ada urusan kerja ke, saja-saja ke, tapi tak buat apa-apa. Means tak sentuh-sentuh, just borak-borak je..."
"Hmm... Drama sebelah tadi pun cerita pasal lelaki perempuan keluar berdua jugak".
*** PENONTON TERCENGANG! ***
"Oklah, oklah, ustaz jawab insyaAllah... Tapi kamu nak ustaz jawab ikut ilmu ke nafsu ke exclusive?"
"Exclusive hape plak tu ustaz?"
"Ok satu-satu ye? Mula-mula, jawapan ikut nafsu dulu. Kalau ikut nafsu, Eh, mestilah boleh, bukan buat apa-apa pun kan??!!!?"
"Astaghfirullah terkejut saya, ustaz ni...."
"Hehe... mestila boleh. Kata kamu tadi diorang tak buat apa-apa pun kan? Takpelah, takkan tak boleh keluar berdua kot, nak pergi makan-makan ke, apa ke, ye dak?"
"Lagi pulak kalau ada kerja, ada urusan, apa salahnya berdua, bukannya cakap benda bukan-bukan pun... kan?"
"Err, ustaz tanya saya ke tu? saya nak jawab apa ni? Blurr kejap, heh...."
"Tapi kalau jawab ikut ilmu, Nabi Muhammad SAW ajar kita untuk 'berjaga-jaga' dalam perhubungan antara lelaki perempuan. Didalam pergaulan sehari-hari antara lelaki dan perempuan. Disebut dalam bab muamalat, ikhtilat. Dalam satu hadith sahih,
Daripada Ibnu Abbas r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya". - Hadis Riwayat Bukhari & Muslim
Di dalam riwayat yang lain,
Daripada Jabir bin Samurah berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah salah seorang daripada kalian berdua-duaan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya". - Hadis Riwayat Ahmad &Tirmidzi dengan sanad yang sahih
Di dalam surah An-Nur surah yang ke 24 ayat yang ke 30 Allah bagitau,
 Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. 
Ayat lepas tu Allah nasihat kaum Hawa pula untuk menjaga pandangan....
"Sedangkan Aisyah, yang digelar Ummul Mukminin, ibu orang-orang mukmin, pun menggunakan tabir untuk menyampaikan ilmu pada para sahabat yang lelaki setelah kewafatan nabi."
"Para sahabat yang mempunyai iman setinggi gunung, pun mengambil langkah 'berjaga-jaga' dalam perhubungan antara lelaki perempuan. Bukan menyuruh bertabir, tetapi 'berjaga-jaga' dengan mengelakkan dari 'berdua'. Kerana lelaki di zaman sekarang tidaklah lebih hebat dari para sahabat, perempuan pula tidaklah setanding iman Aisyah".
"Berdua pasti akan ada yang ketiga. Syaitan tidak menghasut playboy sahaja, ulama' pun tidak terkecuali. Cuba bagi seorang perempuan duduk dengan seorang ulama'. Mampu beliau tahan 'fitrah'nya selama setahun? Sebulan? Seminggu? Sehari pun masih ragu-ragu jika tiada ikatan yang halal".
"Kalau jawab ikut 'exclusive', Allah nasihatkan jangan mendekati zina bukan bermaksud jangan berbuat zina. Tetapi Allah bermaksud, jangan 'pergi ke arahnya'. Sebab? Yang pertama, kamu akan cenderung melakukan zina. Sebab yang kedua, adalah kerana itu akan menimbulkan fitnah".
Cakap-cakap orang... Apa kata orang bila nampak lelaki perempuan berdua? Apa terdetik di hati orang yang melihat mereka berdua? Adakah orang akan tahu mereka berbincang tentang apa? Adakah orang akan sangka mereka cuma berbual sahaja?
"Yang baik akan bersangka baik dengan mereka, 'mungkin hal persatuan agaknya'... Tetapi yang tidak baik, apa yang difikirkan mereka?"
"Inilah yang Allah nak elakkan, 'peluang-peluang' untuk orang mengata.' Peluang-peluang' untuk orang berdusta. 'Peluang-peluang' inilah FITNAH".
"Fitnah ini tidak memberi kesan pada lelaki. But women? Kita bercakap soal 'exclusive'. Seorang perempuan, adalah seperti mutiara yang tersimpan kemas. Mahu menikmati ketenangannya, menyentuh emosinya, mendengar kemanjaannya, merasakan kelembutannya, HARUS NIKAH DULU!"
"Kenapa ustaz kata lelaki tidak terkesan dengan fitnah ini? Kerana lelaki bebas untuk 'touch n go'".
Sudah jemu? Terpulang untuk tinggalkan, cari sahaja alasan, asalkan dapat yang baru. Yang lama konon-konon masih sayang, tapi di hadapan teman-temannya???
"Perempuan tu ke? Ooh... aku pernah keluar berdua dengan dia dulu. Teman dia pergi shopping... Perempuan tu? Alah, senang je nak ajak dia keluar, aku pernah keluar dengan dia dulu... Perempuan tu ke? Haha... Aku dah pernah rasa dah... Perempuan tu? Alah, dia minat aku dulu... Perempuan tu??? Nampak je baik tu, bekas aku je dulu tu..."
"Even dia tipu dan reka cerita sekalipun kawan-kawanya bukannya tahu!"
"Di mana kaum hawa ketika itu untuk membela diri dan martabat??
Di mana maruah, hak exclusive seorang suami terhadap isteri jika sudah begitu nilai diri?
Lelaki... Di depan sahabat tunjuk hebat, konon dialah lelaki terdahsyat, pernah mencairkan wanita-wanita memikat.
Perempuan... Biar dikerat empat, lelaki tersayang itulah yang paling jujur dan hebat. Perempuan... Biar dikerat empat, 'kawan baik' itulah tempat dia curhat. Perempuan... Biar dikerat empat, sering terlupa mana mimpi mana hakikat.
Lelaki selagi belum jadi suami tetap ada peluang untuk 'berpisah'.
Kalau ditakdirkan berpisah, badan mahupun ruh, apa tinggal untuk bakal suami? 'Sayang'? Dah bagi kat boyfriend. 'Keluar berdua'? Dah bagi kat kawan study group. 'Suara bangun tidur'?
Dah bagi kat abang angkat. 'Body'? Malasnya nak tutup-tutup, rimasnya pakai baju longgar-longgar. 'Muka makeup'? Tiap-tiap kali dinner kot???"
*** TERASA PEDAS, TUKAR CHANNEL ***
"Sayang sayang..... sayang sayang sayang?". "Of course sayang.....sayang saaaaaaaaaaaaaaaaaaaayang sayang!" (Erk....???? Apakah? Gastric juice is over secreted, help!!! )
*** TUKAR CHANNEL BALIK ***
"Amatlah rugi orang yang sudah sampai kebenaran padanya namun dia menolak dengan perasaan bongkak dan benci".
Allah menyebut didalam al-Quran,
35 : 24. Sesungguhnya Kami mengutus kamu dengan membawa kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan. Dan tidak ada suatu umatpun melainkan telah ada padanya seorang pemberi peringatan.
06 : 104. Sesungguhnya telah datang dari Tuhanmu bukti-bukti yang terang; maka barangsiapa melihat (kebenaran itu), maka (manfaatnya) bagi dirinya sendiri; dan barangsiapa buta (tidak melihat kebenaran itu), maka kemudharatannya kembali kepadanya. Dan aku (Muhammad) sekali-kali bukanlah pemelihara(mu).
"Ustaz, lelaki memang semua macam tu ke?"
"Mungkin tak semua, tapi perempuan kena sentiasa berjaga-jaga. Elakkanlah 'fitnah' kepada diri sendiri. Dan lelaki pula, harus hormat martabat dan darjat wanita, jaga dan bimbing mereka ke jalan yang benar..."
*** BLACKOUT, TUTUP TV ***

Usah Melafazkannya..

Fana, itulah perkataan yang tepat apabila berbicara soal cinta.
Cinta itu segalanya indah, tapi ramai jua merasai pahitnya cinta.
Selepas saya menulis beberapa artikel yang menyentuh serba sedikit tentang isu evergreen iaitu CINTA, membuatkan diri ditempatkan oleh pembaca menjadi salah seorang dari rujukan

Sedangkan nikah pun belum, ayat power dan sakti untuk mencairkan wanita belum lagi digunakan.
Dan sekarang satu demi satu ada yang meminta pandangan.
Saya serba sedikit cuba untuk menjadi pendengar yang setia, bukan untuk memberikan satu jawapan yang tepat dan jitu.
Kerana cinta itu masalah dan bicara jiwa.
Jiwa pula berbeza-beza tempatnya disetiap manusia.
Mana mungkin saya memberikan jawapan melainkan banyak berkongsi cerita bagaimana untuk menguruskan cinta.
Memberikan alat kepada mereka untuk mencari jawapan.
Hadir dalam riang. Hadir dalam duka. Hadir dalam keliru. Hadir dalam blurr.
Itulah warna warni pembaca yang tampil untuk berkongsi cerita dengan saya. Sudah semestinya setiap yang hadir, saya raikan dengan hati yang berbunga-bunga.
Cinta diungkap, hati gelisah.
"Amad, anda percaya tentang mimpi tak?" tanya seorang teman maya.
"Mimpi? Nak kata tak percaya, tidak juga. Nak kata percaya, silaplah. Tapi banyaknya tak percayalah. Kenapa tiba-tiba buka bab mimpi ni?" saya menjawab dan pada masa sama cuba memberi ruang keselesaan kepada beliau untuk berkongsi rasa.
"Macam ini, saya semenjak dua tiga hari ini, asyik bermimpi tentang seorang lelaki ni saja. Saya tak nak, tapi sering termimpi," dia bercerita.
Lelaki mimpi lelaki? Haru! Kawan maya saya ini adalah seorang wanita.
Jadi pantas saja yang masuk dalam mimpinya lelaki.
"Special sangatkah lelaki tu sampai angau begitu sekali?" saya bertanya lagi. Cuba mengumpulkan sebanyak mungkin informasi daripada history taking yang dijalankan.
"Macam ini sebenarnya. Saya ini ada suka seorang lelaki ini. Tapi tahu sahajalah, saya perempuan, bila suka, hanya mampu buat hanya diam saja. Pendam rasa sorang-sorang. Itu ok lagi.
Tetapi satu hari, sebelum lelaki itu mahu ke luar negara belajar untuk beberapa tahun, dia datang jumpa dengan saya..." beliau bercerita.
Orang menaruh hati memendam rasa, datang pula sang jejaka pujaan. Mengantuk disorongkan bantai beb. Indah!
"Apa yang dia cakapkan?" tanya saya lagi. Cuba mengumpul simptom.
"Dia cakap dia sukakan saya. Dia janji selepas habis belajar nanti, dia akan datang cari saya kembali, Insyallah. Dan itulah masalahnya. Selepas itu hati saya tak tenang, asyik teringatkan dia. Sedangkan dia di luar negara, tanpa beri keputusan yang pasti," beliau menyambung.
Penantian satu penyeksaan.
Keluar daripada kes sebentar, ini terutama untuk muslimat.
Jika orang hadir, bertanya soal hati, cubalah menyatakan keputusan itu secepat mungkin dengan berfikir.
Jika YA, katakan dengan cepat.
Jika TIDAK, katakan dengan cepat. Anda mungkin tidak perasaan dan tidak mengerti, ada lelaki yang tidak keruan hidup tanpa keputusan yang tepat dan cepat.
Jangan seksa mereka dengan penantian yang lama.
"Apa pandangan dan nasihat Amad pada saya? Saya tahu itu silap, tapi macam mana nak baiki dan ubah?"sedih bunyinya.
"Pertama, saya nak sekeh kepala mamat yang cakap sayang tu," saya menjawap.
"Hah, suka hati nak sekeh kepala orang," cepat beliau memberi respon.
"Ops, maaf terlupa pula kepala orang saya nak sekeh itu adalah 'cik abang'," saya bergurau.
"Sebenarnya, orang yang membuat kesilapan paling besar adalah lelaki itu. Anda, rasa suka, rasa minat kepada seseorang, itu wajar saja. Tetapi tindakan lelaki itu adalah amat tidak wajar," saya bagi pandangan.
"Salah lelaki tu? Kenapa? saya tidak faham," dia menyoal balas.
"Silap paling besar lelaki itu adalah dia mengucapkan rasa sayang dia itu pada anda!"
Perasaan wanita, lelaki harus hormati.
Adakah salah meluahkan rasa sayang apabila sememangnya sudah sayang?
Adakah salah menyimpan rasa sayang apabila sememangnya sudah sayang?
Jangan sekali-kali kita menjadi robot cinta. Persoalan dan bicara soal hati dan perasaan diukur dengan digital.
Wanita sebenarnya kompleks hatinya, dan akan mudah dipengaruhi oleh perasaan.
Bagi mereka yang tidak menaruh harapan kepada seorang lelaki itu, apabila diuji dengan persoalan berkaitan hati, sudah tidak nyenyak tidur, makan tidak kenyang, mandi tidak basah. Inikan pula yang sudah menaruh harapan.
Mengantuk disorongkan bantal.
Tetapi bantal itu bukan bantal biasa, ia bantal fatamorgana.
Empuk bicaranya, hakikatnya sensara. Empuknya bisa mengusik hati si gadis, sengsaranya adalah penantian tidak pasti.
Anda! Jika minat dan menaruh harapan kepada si gadis, dan merasakan jalan pernikahan itu masih jauh dipandangan mata, jangan sekali-kali gatal meringankan mulut untuk meluahkan perasaan sayang itu.
Anda mahu pergi jauh, pergilah.
Jangan mengusik perasaan si gadis dengan luahan itu. Elok-elok si gadis dapat mengawal diri dengan sangkaan hanya bertepuk sebelah tangan, datang kita untuk bertepuk sama tetapi dalam nada yang tempang.
Kita sebagai lelaki mungkin tidak mengapa, masih mampu mengawal diri. Tetapi mereka?  Sedangkan hakikat sebenar jiwa lelaki dan wanita itu berbeza.
Anda mahu pergi dalam masa yang lama, pergilah.
Pulang, jika masih ada sisa sayang dan harapan itu, pergilah mencari kembali si gadis.
Dan jika si gadis pada saat itu sudah diijabkabulkan dengan jejaka lain, apa susah, cari saja yang lain!
Reda dengan ketentuan dan ketetapan Allah SWT itu lebih utama kerana menghadirkan kegelisahan hati pada si gadis itu dosa.
Jadi, bila perlu beritahu yang kita berkenan pada dia?
Apabila sudah berkenan, hadirnya rasa suka dan merasakan jalan untuk ke gerbang pernikahan itu semakin jelas.
Pada saat itu, silakanlah mengungkap rasa kasih dan sayang itu kepada ibu bapa si gadis.
Bertemulah dengan kedua orang tua si gadis. Mintalah izin dengan ibu bapa si gadis.
Cepat-cepatkanlah kepada shake hand dan lafazkan "Aku Terima Nikahnya".
Lawan jangan layan jangan.
"Dah tu, sekarang dia pun terlepas cakap. Saya pulak dah lama terseksa dengan perasaan ini. Macam mana nak buang ni?" tanya beliau.
Buang jangan, manage perlu. Bagaimana? Cara menguruskan angau yang tidak berpijak ini adalah dengan melupakannya.
Cara untuk melupakan cinta bukanlah dengan memikirkan cara melupakannya. Itu bukan lupa, tapi mengingati cinta secara melupakannya!
Sesungguhnya kaedah terbaik untuk melupakan cinta, ialah dengan menyibukkan diri dengan hal-hal lain yang lebih sesuai dengan masanya.
Sibukkan diri dengan pelajaran dan pengajian seoptima mungkin.
Sibukkan diri dengan kerja-kerja persatuan, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain kegiatan yang bersifat "memberi".

iluvislam-kita sepatutnya

Hubungan cinta sebelum perkahwinan merupakan satu cabaran bagi pemuda-pemudi hari ini. Jika kita terjebak dengan perkara ini, kita mestilah berpegang kepada prinsip-prinsip yang betul dan takut kepada Allah (khauf Allah) kerana sudah pasti syaitan akan sentiasa menghasut kita untuk melakukan maksiat.

Kita sepatutnya bersyukur jika si dia :
  • Menolak ajakan kita untuk keluar.
  • Tidak selalu mengadu kesedihannya.
  • Cemburu pada tempatnya.
  • Mengajak kita untuk bertahajud.
  • Mengajak kita menutup aurat dengan sebenar benarnya.
  • Mengingatkan kita atas dosa-dosa yang kita tidak sedari.
  • Mengajak kita untuk berkahwin jika sudah mampu.
  • Menahan dari melafazkan kata-kata cinta yang tidak hak kepada kita.
Kita tidak sepatutnya bersyukur jika si dia :
  • Mengajak kita keluar ditengah malam semalaman.
  • Mengadu pada setiap saat sehinggakan terluka 2 cm pun mahu mengadu.
  • Cemburu buta sampaikan marah walaupun sedikit.
  • Mengajak kita ke majlis-majlis maksiat.
  • Bangga dengan pakaian ketat yang terdedah kita.
  • Mengajak kita membuat dosa.
  • Menangguh pernikahan semata-mata untuk mengejar kesenangan dunia.
  • Selalu melafazkan kata-kata cinta setiap hari.

iluvislam-Bagaimana BidadariMu

"Jangan engkau kahwini wanita yang enam; yang ananah, yang mananah, dan yang hananah, dan jangan engkau kahwini yang hadaqah, yang baraqah dan yang syadaqah." - Imam Al-Ghazali
Wanita Ananah:
Wanita yang banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat memperalatkan sakit atau berpura-pura sakit.
Wanita Mananah:
Wanita yang suka mengungkit-ngungkit terhadap suaminya. Wanita ini sering menyatakan seperti; "Aku membuat itu keranamu"
Wanita Hananah:
Wanita yang menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.
Wanita Hadaqah:
Wanita yang melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.
Wanita Baraqah:
1) Wanita yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya.
2) Wanita yang marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagianya.
Wanita Syadaqah:
Wanita yang banyak bercakap perkara yang lagha (sia-sia) dan lagi membisingkan.

iluvislam-Mana satu Pilihan Hati

Saya bertanya kepada emak, "mak mana satu pilihan hati, orang yang sayangkan kita atau yang kita sayang?"
Mak jawab, "dua-dua bukan.."
Saya tercengang. Mak mengukir senyuman.
"Pilihan hati mak adalah yang sayangkan kita kerana Allah.." saya menarik nafas dalam-dalam.
"Macam mana nak tau orang tu sayang kita kerana apa?" Mak diam sekejap berfikir dan kemudian tersenyum.
Rasanya mak dapat menduga apa yang sedang bermain dalam hati anak perempuannya. Mana mungkin saya mampu menyorokkan rahsia hati dari mak sedangkan sekilas saya pun mak mampu membacanya.
"Yang paling tahu hanya Allah.." mak merenung dalam-dalam wajah anaknya.
"Kerana hanya Allah mampu membaca hati hambaNya.." mak menyusun ayat-ayatnya.
"Dan keikhlasan kerana Allah itu akan terserlah keberkatannya tanpa perlu sengaja ditonjokan oleh seseorang tu.."
Saya memintas, "Tak faham.."
Mak menyambung, "Cinta di dalam jalan Allah.. Bertemu kerana sama-sama mencari redha Allah.."
Mak menyambung lagi, "Begini, setiap insan yang bergelar manusia telah Allah ciptakan berpasang-pasangan. Rasa ingin dikasihi antara seorang suami dan isteri suatu fitrah. Automatik boleh ada daya tarikan magnet tu.."
Wajah saya merah, sedikit cemas jika mak dapat mengesan gelora jiwa muda ini..
Mak menyambung, "Setiap manusia telah Allah tetapkan rezeki, jodoh dan maut sejak azali lagi. Persoalannya ialah.. siapakah jodohnya itu?" mak berhenti seketika.
Saya tunduk malu, cuba menyorokkan rasa panas di pipi. Emak buat-buat tidak nampak.
"Mak dulu masa muda ada secret admire. Rajin betul dia hantar surat. Masa tu mak dah tahu yang bercinta sebelum kahwin ni tak halal. Mak nak belajar sungguh-sungguh. Lama budak tu tunggu mak. Akhirnya mak bagi kata putus, mak hanya akan membalas cinta dia jika dia sah suami mak. Dan dia memang bukan jodoh mak, maka tak pernah dia menerima balasan cinta tu," Mak merenung jauh. Saya merapatkan badan kepada emak, semakin berminat dengan kisah lama mak..
"Mak memang tak ada perasaan lansung pada dia ke?" saya menyoal sambil memandang tajam wajah mak.
Emak ketawa kecil.
"Walaupun mungkin ada, mak tak pernah bagi peluang pada diri mak untuk mengisytiharkan perasaan tu. Mak takut pada Allah. Mak bukan seperti rakan sebaya mak yang lain. Mak, seperti kakak.." Mak memandang saya sambil memegang pipi dan dagu saya. Kemudian tangannya mengusap rambut di kepala saya.
"Dulu bila di sekolah, mak pelajar pertama yang bertudung. Mak membawa imej agama. Kawan-kawan dan cikgu-cikgu panggil mak dengan gelaran mak Aji. Sebab zaman tu hujung 70-an dan awal 80-an tak ramai lagi yang bertudung betul menutup auratnya. Zaman tudung nipis dan nampak jambul. Kemudian kawan-kawan mak sikit-sikit ikut bertudung. Akhirnya kami semua dipanggil di perhimpunan. Kami dimarah guru besar kerana bertudung sedangkan ustazah kami bertudung tapi nampak jambulnya.." emak melemparkan pandangan ke lantai.
"Selepas itu ustazah jumpa kami secara persendirian. Ustazah kata dia tak mampu nak pakai seperti kami. Dia suruh kami teruskan.." sambung emak.
Ada getar di hujung suara emak. Kisah silam perjuangan emak di sekolah dahulu sikit-sikit emak ceritakan pada saya. Itulah juga salah satu inspirasi kepada saya untuk bangkit semula setiap kali terjatuh ketika berjuang di sekolah dulu.
"Mungkin kerana personaliti mak, mak menjadi tempat rujukan kawan-kawan mak. Jadi, bila mak nak ambil sesuatu tindakan, mak kena fikir betul-betul sama ada tindakan mak tu akan menyebabkan Allah marah atau tidak. Mak ayah berdosa tak? Dan maruah pembawa agama terjejas tak? Kalau mak membalas cinta si lelaki tadi, bermakna mak sedang menconteng arang di muka-muka pembawa-pembawa agama. Orang akan pandang serong terhadap orang yang bertudung sedangkan kesilapan tu hanya seorang dua yang buat. Besar fitnah akan timbul apabila orang-orang agama mengambil ringan batas syariat duhai anak.." mak menelan air liurnya.
Saya diam. Fikiran saya sedang cuba memahami maksud mak saya.
"Jatuh cinta perkara biasa. Apabila kita jatuh cinta pada seseorang, itu tandanya ada sesuatu keistimewaan pada seseorang tu. Apatah lagi orang yang kita jatuh cinta tu di atas jalan dakwah ni. Tetapi kita kena ingat. Kita tak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai. Bercouple mungkin. Tetapi bukan berkahwin. Kerana kita berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah dah tetapkan sejak azali. Dan tak mustahil orang yang kita paling benci itulah jodoh kita yang kita akan dikahwinkan dengannya.."
Tiba-tiba air mata saya mengalir. Argh! Ego saya kalah bila mendengar hujah emak.
Emak meneruskan, "Allah itu Maha Adil. Dia tak pernah menzalimi hamba-Nya. Sesungguhnya, yang selalu menzalimi hamba-Nya ialah diri hamba tu sendiri. Sebabnya hamba itu degil. Dia mahukan yang bukan haknya dan yang bukan milik dia. Mencintai seseorang tidak semestinya memilikinya.
Dalam Islam, kita dah diajar untuk saling mencintai antara satu sama lain seperti diri sendiri. Jadi apabila kita mencintai saudara perempuan, kita bebas peluk dia. Tetapi bila dengan lelaki, kita ada batas-batasnya. Orang kafir kata batas-batas ini suatu diskriminasi, tetapi sebenarnya batas-batas syariat itulah yang memelihara kehormatan seorang lelaki dan seorang perempuan.
Cuba renungkan, kita mengenali seorang insan yang amat baik, sempurna agamanya dan rajin. Lalu kita jatuh hati padanya. Ditakdirkan jodohnya dengan insan lain, kita pula dengan yang lain. Tetapi itu tidak bermakna ukhwah antara kita dan dia terputus. Kita dan dia sama-sama mencari redha Allah. Kita dan dia masih boleh sama-sama bekerjasama untuk mencari redha Allah. Perbezaannya, dia halal untuk isterinya sedangkan untuk kita, dia tetap lelaki ajnabi seperti yang awalnya," emak berhenti seketika.
Tentu kering tekak emak menerangkan kepada saya persoalan hati ini.
"Jadi di sini mak nak kamu faham, jatuh cinta bukan perkara luar biasa. Dan berkahwin pun bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada lelaki lain. Kerana itulah ramai isteri yang curang, suami yang curang. Ada orang tukar pasangan macam tukar baju. Apa yang penting ialah kita kena perjelaskan pada diri kita supaya setiap kali kita jatuh cinta, jatuh cinta itu kerana kita jatuh cinta kepada Pencipta dia. Kita beritahu pada diri kita berulang kali yang kita mencintai Allah, kerana itu kita mencintai si dia. Letakkan Allah sebagai sempadan hati kita, segala perkara yang kita cintai dan sayangi termasuk mak ayah adalah kerana mencintai Allah. Dan apabila kita membenci seseorang atau sesuatu, beritahu pada diri sendiri berulangkali yang kita benci sekian-sekian hal kerana Allah semata-mata."
"Hati kita ni walaupun dalam dada kita sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu untuk mengawalnya. Hanya Allah yang boleh memegangnya. Sebab tu kita kena dekatkan diri dengan Allah. Sebab kita nak dia pegang kukuh-kukuh hati kita. Bila dia pelihara dan masuk dalam hati kita, itulah nikmat lazatnnya bercinta. Masa tu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah. Bercinta dengan Allah sangat berbeza dari bercinta dengan manusia. Kerana tentulah pegalaman bercinta dengan lelaki kaya, rupawan, sempurna dan bijaksana tak sama rasanya bercinta dengan lelaki miskin, hodoh,cacat dan dungu. Betapa nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang pernah merasai sahaja yang mampu mengerti."
"Walau siapapun jodoh yang Allah hantarkan untuk kamu, terimalah dengan hati yang redha. Tak mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau yang kamu sayang, tak jadi hal lah. Tapi kalau dapat yang kamu tak nak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa dalam diri setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing-masing. Dan mungkin kamu ada kekuatan yang dapat mengubah si lelaki tadi supaya hidup dia bermakna dan mungkin kamu sahaja yang mampu mencungkil kelebihan yang ada pada dia. Mungkin juga si lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kamu sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kamu.. Alangkah bertuahnya kamu kalau kamu mengerti setiap pemberian Allah dan belajar untuk bersyukur," sekali lagi berjuraian air mata saya turun. Terasa lemah lutut hendak berdiri.
Emak menarik tubuh saya dan memeluk erat. Pelukan emak sangat-sangat kuat. "Emak dah didik anak emak dari belum lahir untuk mencintai Allah. Sekarang emak serahkan anak emak yang mak sayang sangat ni pada Allah untuk Dia pelihara," emak mengakhiri kata-katanya dengan suara sebak dan air mata yang mengalir ke bahu saya.

Khamis, 28 April 2011

Mahar Cinta


Andainya dapat engkau mendengarkan
Suara di hatiku melagukan rindu
Kiranya engkau mampu mentafsirkan
Setiap bait kata-kata yang terucap
Pasti dirimu kan memahami
Harapan kasih yang terbina
Sekian lama di sudut hatiku
Hanyalah untukmu...
Bukanlah aku sengaja
Melindungi rasa di jiwa
Namun bimbang diri kan terleka
Hanyut dibuai angan dan mimpi indah
Hingga terabai segala cita
Sedang khayalan tak menjanjikan
Segunung kebahagiaan
Sebagai mahar hantaran
Apakah mungkin engkau mengerti
Setiap cinta yang dilafazkan
Bukanlah sekadar mainan
Tetapi sebuah janji...
Andainya dapat engkau mendengarkan
Suara dihatiku melagukan rindu
Kiranya engkau bisa mentafsirkan
Setiap bait kata-kata yang terungkap...
Pasti dirimu dapat melihat
Rahsia kasih yang terpendam
Sekian lama di sudut hatiku
Hanyalah untukmu
Selamanya...

iluvislam-Jangan salahkan cinta

Hati manusia sangat fleksibel, tersentuh, mudah bimbang tatkala takdir tidak sebulu dengan fitrah, tatkala diserang malapetaka di luar dugaan resah bukan kepalang, akal separa waras. Bila keinginan diharapkan menemani, datang pula bebanan menghantui. Kenapa, mengapa, apa berlegar, berputar ligat membunuh daya mampu dan mahu. Mampu, dalam erti kata berpecak silat menentang badai, dan mahu, berubah.
Berkali-kali kita diingatkan, manusia tidak sirna dari dugaan, sering diduga dan menduga. Tabi-'e alam, memang kita memerlukan antara satu sama lain, tiada siapa bisa mendabik dada dia boleh hidup tanpa perlu kepada manusia lain, hatta hartawan sendiri masih memerlukan khidmat orang bawahan, mengaji mengurus dan sebagainya. Justeru itu, masalah akan ada di mana-mana tanpa dipinta, cuma kita disarankan agar berhati-hati, sedia, sabar, dan belajar dari masalah tersebut.
Jodoh, adalah hal berkaitan dengan fitrah, mahu tidak mahu setiap daripada kita pasti dipaksa bergelumang meredah mehnah, suka duka, jerih perih sebelum bahagia dalam rumahtangga direalitikan. Manusia tidak selama-lama akan kebal, pasti ada satu saat dia akan tunduk, jatuh. Oleh kerana itu, Islam mengajar agar kita tidak sombong untuk belajar daripada alam, pengalaman, sirah buat pendinding kalis kecewa, sengsara, dan lara. Kita kian tenang dalam damai ketika mencari cinta Ilahi nan abadi.
Kita mesti selalu jadi baik, agar yang baik juga Allah Taala jodohkan untuk kita. Cinta yang dicari baik, tetapi cinta yang ditemui lebih baik lagi. Keluarga ibarat sebuah negara, suami ialah seorang pemimpin menerajui sebuah kerajaan besar, tidak boleh dipandang enteng. Berjaya atau tidak seorang suami itu dilihat berjaya atau tidak anak buah di bawah jagaannya.
Perkahwinan yang sempurna bukanlah sentiasa sempurna, melainkan ketidak-sempurnaan yang ditangani dengan kemahuan pada agama, syari-'at aturan daripada al-Quran dan as-Sunnah. Tiada apa yang sempurna dalam dunia ini kerana ini hanyalah dunia. Tidak penting di mana kita bermula, tetapi lebih penting di mana kita akan berakhir.
"Kali ini sudah dua kali peluang saya berikan, tapi abang masih tidak mahu berubah..." rintih seorang isteri bila mana tahu si suami main kayu tiga.
Kadangkala kita terlalu mengharap sesuatu yang ideal sehingga kita terlepas pandang dengan segala kebaikan yang ada pada pasangan di depan mata, hingga kita cuba membandingkan dengan insan lain.
Salah kita juga, dulu bercinta bagaikan hilang waras manusia normal, bibir hanya berbicara kebaikan pasangan sahaja, memuji kecantikan pasangan. Bila dah akad, pasti kebaikan juga diharapkan, namun panas tidak selalu sampai ke petang, bila ada step tersilap, maka mulalah persoalkan ini dan itu.
Cabaran hidup berkeluarga tidak seindah yang diimpikan, khabar tidak seindah rupa. Tidak boleh menjadi idealistik. Banyak tanggungjawab harus dipikul, banyak keseronokan masa bujang yang terpaksa dikorbankan, karenah anak-anak yang bisa menggugat kesabaran. Bila dah berumahtangga suami isteri bukan sahaja berkongsi satu bilik, satu katil, satu almari, tapi juga satu rasa, satu tanggungjawab. Bebanan kewangan diatasi, dikoreksi bersama.
Di sini, cinta akan mekar berputik, kekurangan ada di sebelah pasangan dilengkapkan pasangan lain. Usia perkahwinan juga akan melalui pra-matang, maka dalam tempoh demikian, terlalu banyak agenda perlu dirangkumkan, apa patut didahulukan, dan mana patut dikemudiankan.
SEBELUM KAHWIN
Berusaha menjadi terbaik untuk mendapat yang terbaik, bukan menilai orang lain baik tapi diri sendiri tiada usaha menjadi baik. Maka segalanya dilakukan dengan usaha dan niat yang ikhlas, niat baik akan dipertemukan dengan takdir-Nya yang baik-baik. Kebaikan kita dinilai oleh masa, kalau umur dah berginjak 20-25 tahun, tapi masih bermain PSP, baca majalah mangga, belek komik bersiri, bukankah teramat jauh untuk jadi baik.
Allah Taala berfirman, bermaksud: "...perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat)" (Surah An-Nur, 24:26)
Benar kita boleh berlakon, depan orang cerah perut ibu mengandung, tapi sampai bila, tembelang kalian pasti dapat dihidu, bila dah kahwin semua itu sudah tiada lagi, kembali pada perwatakan sebelumnya.
Kalian berhak memasang cita-cita, memiliki isteri mampu menjaga pakaian dan makan minum, mendamba isteri rajin bertadarrus al-Quran dan bertahajjud malam, isteri rajin dalam kerja-kerja dakwah, mengimpikan isteri melahirkan zuriat soleh dan solehah, menginginkan isteri berkongsi suka dan duka, kalian boleh buat demikian, tapi sanggupkah kalian juga menjadi seperti apa seorang isteri harapkan, menemani di kala tahajjud, menyediakan pakaian dan makan minum, menjadi pemimpin baik buat dirinya dan anak-anak yang soleh dan solehah.
Mereka bertadabbur, dan memahami kalam Allah satu ini;
Allah Taala berfirman, bermaksud: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan..." (Surah An-Nisaa', 4:34)
Menetapkan niat untuk menjadi lelaki yang baik untuk keluarganya serta hasrat untuk melahirkan generasi baru yang membawa ad-Deen merupakan usaha yang murni. Sudah tentu usaha sedemikian memerlukan keteguhan dan kecekalan serta usaha yang berterusan sambil memohon pertolongan Ilahi. Niat yang baik akan menatijahkan hasil yang baik.
Seorang lelaki menyukai perempuan yang mempunyai sedikit sentuhan maskulin manakala perempuan yang akan menjadi isteri juga menyukai lelaki yang mempunyai sentuhan feminin.
Ringkasnya, suami akan suka isteri yang boleh berdikari menyelesaikan beberapa tugasan atau kerja-kerja yang selama ini dilakukan oleh suami, manakala isteri juga menyukai suaminya sekali sekala buat kerja rumah dan memasak untuk keluarga. Ada kalanya suami memerlukan isteri membantunya dalam menyelesaikan kerja-kerja yang selama ini suami yang lakukan, adakalanya si isteri memerlukan suami untuk ringan tulang dalam hal berkaitan house-chores.
Tiadalah itu satu harapan yang melangit, melainkan rasa ingin merealisasikan sesuatu yang sudah berkurangan dalam kehidupan insan hari ini. Rasulullah s.a.w dalam kesibukannya berdakwah dan menjadi penghulu ummat juga mampu memenuhi hak-hak keluarganya, dan membina satu keluarga Islami yang bahagia, maka kita juga berusaha untuk menjadi seperti baginda.
Saya tidak setuju kalian bercinta sebelum kahwin. Cinta tidak salah, tapi masalah besar adalah orang bercinta, salah meletakkan harga sebuah cinta. Kalau sudah rasa tidak mampu, maka jauhilah maksiat cinta.
Kebanyakan orang bercinta terbawa-bawa dengan khayalan cinta sehingga bersikap terlalu romantik. Bila berbual, banyak control macho sehingga tidak berani bercakap jujur dalam hal-hal tertentu. Bila bercakap, banyak tipu dari memberitahu perkara yang sebenar. Bila merancang, banyak manis dari yang pahit. Bila berjanji banyak hipokrit dari realistik. Ini lumrah orang bercinta. Kerana itu, elakkan mengenali pasangan terlalu intim sebelum berkahwin. Dibimbangi, kalian terkejut selepas berkahwin.

Sanggupkah kalian bercinta?

iluvislam-Mengapa gagal Kawal Nafsu Zina??

Hikmah larangan berzina sudah dimaklumi umum. Akibat buruknya juga terbukti hari ini, kes pembuangan bayi serta pembunuhan pasangan kekasih adalah bertitik tolak daripada perlanggaran perintah Allah.
Walaupun Islam sudah menggariskan cara hidup yang sempurna merangkumi semua aspek, ada segelintir pihak mahu melanggarnya. Maka timbullah pelbagai kejadian tidak diingini dan tidak dapat diterima fitrah manusia. Zina adalah perbuatan keji yang boleh mengaibkan pemilik maruah diri, keluarga dan agama. Zina juga membawa kerosakan pada bumi. dan dapat dilihat dalam perkembangan sosial sekarang, hubungan intim tidak lagi menjadi asing dalam budaya hidup moden.
Akibatnya, janin digugurkan dan anak yang tidak sah taraf lahir, dibuang merata malah dibiarkan mati. Perbuatan ini boleh disamakan dengan pembunuhan yang balasannya juga adalah nyawa, mengikut hukum Tuhan.
Firman Allah: "Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar." (Surah al-Israa': 33)
Berzina sehingga melahirkan anak tidak sah taraf juga meninggalkan implikasi lain yang bersifat jangka panjang terhadap anak terbabit seperti rosaknya nasab. Allah berfirman maksudnya: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." (Surah Al-Israa': 32)
Buruknya zina dapat dinilai melalui amaran Allah dalam ayat itu supaya hamba-Nya tidak menghampiri sebarang perbuatan yang mendorong kepada zina.
Kebanyakan pengamal zina hari ini tahu dan faham akan larangan itu tetapi tidak berusaha menjauhinya. Apa lagi yang mampu mengelakkan golongan ini menjauhi zina melainkan kesedaran beragama dan pemantauan orang di sekeliling?
Memang benar, sekiranya empunya badan tidak berusaha kembali ke pangkal jalan, sudah tentulah tidak ada apa yang boleh merubah keadaan. Di negara yang taraf pendidikan rakyatnya tinggi, kedangkalan ilmu tidak menjadi sebab perbuatan jahiliyah ini semakin berleluasa. Apatah lagi ilmu agama hari ini mudah diperoleh dan disampaikan kepada setiap golongan masyarakat secara langsung atau tidak langsung. Mungkin juga tarbiyah hati yang kurang mencukupi menyebabkan nafsu tidak terhalang daripada terus membuat kerosakan di bumi dan akal pula tidak boleh menjadi pedoman meskipun mampu berfikir.
Walau apa pun alasannya, mencari ruang kesalahan tidak cukup untuk membetulkan keadaan. Sebaliknya, setiap ahli masyarakat perlu memainkan peranan yang sepatutnya untuk tidak membenarkan perbuatan zina berlaku di mana-mana, baik di rumah sendiri, bilik hotel, dalam semak atau di rumah tumpangan. Mengharapkan sehingga setiap individu mempunyai kesedaran tentulah tidak merancakkan langkah pencegahan, walaupun itulah yang terbaik untuk mengatasinya.
Firman Allah bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu puak yang menyeru berdakwah kepada kebajikan mengembangkan Islam dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah, buruk dan keji, dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." (Surah Ali 'Imran: 104)
Individu Islam tidak boleh menolak daripada berpegang teguh kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Dengan berpegang ajaran inilah manusia tidak akan terpesong daripada kebenaran atau sesat akidahnya, sama ada melalui perkataan atau perbuatan, seperti sabda Rasulullah:
"Dari Ibni Abbas r.a ia berkata: Sabda Rasulullah – Sesungguhnya aku telah meninggalkan pada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sama sekali sesat selama mana kamu berpegang kepada keduanya, kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya." (Hadis riwayat Al-Imam Al-Hakim)

Rabu, 27 April 2011

Wanita Memerlukan Lelaki

Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.
Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala. Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?
Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.
Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.
Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya. Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.
Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.
Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.
Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.
Tetapi lelaki yang baik, jika tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok-belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.

Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.

Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita. Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita sebagai wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.
Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.
Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.
Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia. Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.
Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua. Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.
Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.
Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa. Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.
Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.
Semoga mereka tak tersalah pilih. Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.
Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.
Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.
Dan kerana tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.
Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya. Tetapi kerana fitrah kejadian tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.
Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.
Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik. InsyaAllah.

Maksiat Membawa Kerugian

Kehidupan seharian kita tidak akan lari daripada dua perkara, sama ada berada dalam maksiat atau taat.
Apabila Rasullulah s.a.w menyebut "halawah-al-iman" (kemanisan iman), fahamlah kita bahawa iman itu manis. Taat kepada Allah itu manis. Membaca Al-Quran, solat berjemaah, menghadiri majlis ilmu, qiamullail dan sebagainya, semua itu manis.
Namun, kenapa sukar benar merasai kemanisan ini?
Mungkin kerana hati kita sedang berlazat-lazat dengan maksiat hinggakan maksiat itu terasa manis. Maka, hilanglah lazat dalam ketaatan. Bahkan ketaatan terasa tawar dan pahit. Taat dan maksiat takkan bertemu dalam situasi hati yang sama.
Persoalannya, lazat sangatkah maksiat sehingga kebanyakan kita lebih sanggup memilih maksiat berbanding taat? Terlalu banyak akibat maksiat yang akan menekan kita setelah melakukannya.
Tika itu, masih lazatkah jiwa? Mari kita telusuri beberapa akibat maksiat.
01.Tidak Memberi Cahaya dalam Hidup
Usia remaja seharusnya difokuskan untuk mempersiapkan diri dengan ilmu bersungguh-sungguh. Seterusnya proses menuntut ilmu itu berterusan sehingga ke liang lahad.
Namun, jika hidup disibukkan dengan maksiat, masih adakah ruang untuk ilmu melekat?
Mungkin ada yang keliru, "Kenapa ada kawan saya ni, Nampak enjoy je selalu, tapi bila peperiksaan dapat cemerlang juga?"
Banyak tafsiran yang boleh dibuat daripada situasi ini.
Remaja itu mungkin tidak nampak bila kawannya belajar. Menjadi sunnatullah, sesiapa yang berusaha dia akan dapat.
Walaubagaimanapun, sesiapa yang berusaha mendapatkan ilmu dalam keadaan dia bergelumang maksiat, ilmu itu tidak akan memberi cahaya dalam hidupnya untuk mencapai kedudukan yang mulia di sisi Allah sama ada di dunia ataupun akhirat.
Kalau begitu pun kawannya cemerlang tanpa belajar malah sibuk dengan maksiat lagi, maka haruslah difahami bahawa itu nasibnya ketika itu sahaja. Sikap itu tidak akan menjamin kejayaannya pada masa-masa akan datang.
Sijil yang bakal digenggamnya hanya melambangkan ilmunya sekadar teori tanpa kualiti. Tidak akan ada berkat. Tidak akan ke mana-mana.
Jadi kenapa remaja harus memilih untuk meniru maksiatnya? Apakah perlu untuk cemerlang sepertinya dengan melakukan maksiat? Sah, kena tipu dek syaitan!
Imam al-Syafi' pernah mengadu kepada gurunya Waki' mengenai hafalannya yang terjejas. Waki' lantas menasihatkannya, "Tinggalkan maksiat."
02.Disempitkan Hidup
Sama ada kita kaya atau miskin, jika kita suka berlazat dengan maksiat, hidup akan terasa sempit.
Wahai remaja, adakah anda melihat seorang pemimpin berwibawa yang skandal seksnya terbongkar itu tenang hidupnya?
Adakah si miskin yang mencari rezeki dengan mencuri itu tenang hidupnya?
Adakah artis terkenal yang bebas berkepit dengan mana-mana pasangan itu tenang hidupnya?
Tidak! Tidak! Jiwa mereka akan jatuh miskin kerana maksiat. Jiwa mereka gersang. Yang ada hanyalah kerisauan dan kesepian hati.
Jika tujuh gunung emas dibentangkan di hadapannya, ia takkan mampu menjadi penawar terhadap kebimbangannya akibat daripada maksiat.
Bukan sahaja Allah akan menghukum, malah di dunia lagi masyarakat akan menghukumnya. Tekanan akan lebih membunuh  jiwanya apabila ditikam perasaan terasing.
Lebih-lebih lagi apabila keluarga dan rakan baik mula menjauhkan diri darinya. Dia tentu bertambah sukar menghindari maksiat malah mungkin mencari penyelesaiannya dengan maksiat baru pula.
Maksiat itu bukan sahaja menyempitkan jiwa malah menyempitkan harta. Dalam Musnad Imam Ahmad diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya seseorang hamba tidak akan mendapat rezeki kerana dosa yang dilakukannya."
Jelas ketaatan itu melimpahkan kekayaan, sebaliknya maksiat mendorong kepada kefakiran jiwa dan harta. Bukan itu sahaja, penggemar maksiat akan menemui kesulitan dalam urusannya dan jalan buntu dalam banyak perkara.
03.Melemahkan Hati dan Badan
Kekuatan Mukmin adalah pada hatinya. Ia raja kepada anggota badan. Apabila hatinya kuat, maka anggotanya kuat dan tindakannya juga bermanfaat.
Ahli maksiat, biarpun badannya kuat tetapi hatinya lemah dan sentiasa gelisah. Bayangkan kekuatan orang Parsi dan Rumawi yang tamadunnya sangat pesat dan memiliki kekuatan perang yang lengkap namun dapat ditundukkan oleh generasi para sahabat yang lebih kuat hatinya.
Abdulah bin Abbas berkata: ''Sesungguhnya pada kebaikan itu ada cahaya pada wajah, sinar pada hati, kelapangan pada rezeki dan kekuatan pada badan serta kecintaan di hati ramai orang terhadap dirinya'' .
Paling menakutkan, ahli maksiat akan dihukum Allah dalam bentuk lemah anggota badannya untuk melaksanakan ketaatan, terputus jalan-jalan kebaikan baginya dan kemudian mati dalam kemaksiatan. Sewaktu dibangkitkan kelak, diri pasti mengeluh kesal.
"Aduhai, sekiranya dulu aku berbuat sesuatu untuk hidupku sekarang ini" (surah al-Fajr 89:24).

Cinta Pada Remaja

Mungkin ramai antara kita pernah bercinta, merasai asyiknya cinta itu dan tenggelam di dalam kemabukannya. Malah Syed Qutb, Abu talhah serta Hasan Al-Basri pernah menyintai seorang perempuan sebelum pernikahan mereka. Selain dari itu, Khadijah r.a juga mempunyai rasa suka kepada Rasulullah sebelum peminangan beliau pada baginda.
Dan sungguh cinta itu tidak pernah salah. Malah ia memberi cahaya kehidupan dan harapan yang melestarikan nafas yang panjang pada dunia yang mencabar ini.
Namun diri kita tahu akan kelemahan diri kita. Kita tahu di mana tempatnya kita bakal jatuh, jika kita kurang berhati-hati.
Seperti itu jugalah kebanyakan wanita, kita amat mudah menyintai dan menyayangi manusia lainnya. Hati kita dipenuhi cinta dan sayang. Terkadang mampu dikawal, terkadang mencengkam dan memakan diri kita sendiri.
Dan kita tahu di situlah kelemahan kita. Apabila diberikan kepada yang belum haq, kita akan tenggelam dalam keasyikan yang merudum jiwanya. Cinta yang ditakuti takkan sampai ke penghujungnya. Cinta yang mencemari cinta kita kepada Rabb kita. Dan ditakuti kita akan sesat dalam kegelapan akibat cinta yang asyik itu.
Dan kerana itu cinta ini disimpan rapi, hanya untuk dimiliki yang hak dan berhak sahaja. Bukan kerana kita membenci cinta itu. Bukan menolak mereka yang menyintai kita. Tapi kerana kita tahu di mana titik lemah kita. Dan cinta itu kita simpan sekedapnya, agar siapa sahaja yang kita berikan cinta itu, biarlah cinta itu hanyalah kerana Allah semata-mata.
'saya takut kalau saya menyayangi seseorang, orang itu akan lebih menyayangi saya dari saya menyayangi dia. dan itu pernah berlaku pada saya.'
Padaku ucapan itu mungkin bernada agak perasan, namun aku tahu dari lubuk hatinya, itu merupakan ucapan yang tulus.
'tapi saya isteri awak, tentu saya perlu sayang pada awak.'
'betul, tapi saya takut awak akan rasa kecewa di kemudian hari, jika apa2 yang berlaku pada kita.'
Suara hati nakalku berkata, 'takpe, saya akan jadikan awak sayang saya lebih dari saya sayang awak, baru awak tahu!'
Namun aku menjawab, 'tak apa, bukankah kita ada Allah. Apapun yang berlaku dalam hidup kita, kita ada Dia untuk kita mengadu akan keadaan itu.'
Ketika aku menyalami tangannya, aku tenang melihat dirinya pergi. Namun fikiranku tetap memikirkan akan dirinya yang aku temui cuma acap kali sahaja dalam masa beberapa minggu.
Dan ketika aku pulang ke bandar beku dan sejuk ini, aku teringat suasana hiruk pikuk dan siren ambulans yang berkumandang setiap 10 minit di kota London. Asap dan enjin kereta yang mampat mungkin menjadikan udara di bandar kosmopolitan itu berhawa tinggi dan sering mengundang peluh di bajuku.
Sudah tentu kenangan bersama dia takkan dapat aku lupakan.
Setiap kali kembali setelah bertemu dengannya pasti aku akan teringatkan perbualan-perbualan yang kami lalui bersama. Pertama kali dalam hidupku, aku begitu dekat dengan jiwa seorang lelaki bergelar suamiku.
Dan aku tahu di saat itu, aku telah mula menyintai dirinya. Mahu membantu dirinya sepanjang hidupku. Mahu menjadi sayap pejuangnya walaupun mungkin aku dan dia bukanlah pasangan yang sempurna di dunia ini. Banyak ujian melanda. Dan sungguh setiap kisah-kisah pasangan baru berkahwin adalah berbeza sekali. Namun di sebalik ujian itu, ada kemanisan setiap kali cabaran itu dapat dilepasi.
Adakah dapat aku sembunyikan rahsia hati ini, menjadikan dia lebih menyintai diriku dari diriku menyintainya?
Namun tentu bukan itu matlamatku dalam perkahwinan ini. Perkahwinan ini adalah ibadah. Cintaku padanya adalah suatu ibadah. Aku menyintainya kerana Allah dan aku berasa amat tenang dengan cinta itu. Cinta yang menjadikan aku sentiasa berhubung dengan Allah di saat susah dan senang menghadapi bahtera rumah tangga ini.
Satu anggapan yang salah, seorang ukht berkahwin dengan seorang akh untuk mendapatkan kekuatan dari pasangannya. Ya, sebahagiannya betul, namun hakikatnya, ujian kehidupan pasti melanda setiap seorang dari kita. Kerana itu, peribadi kita sendiri perlu kuat. Hubungan kita dengan Allah perlu amat mantap.Terkadang pasangan kitalah yang perlu dibantu, bukan kita yang dibantu.
Tentu dalam berBaitul Muslim sendiri ada pasang surutnya. Namun yang menyatukan dua hati manusia yang asing ini adalah Allah. Apabila keduanya kembali semula pada Allah dan meminta petunjuk dariNya.
Dahulu aku takut tenggelam dengan cinta. Cinta sesama akhawat sendiri menyebabkan air mataku kering kerana banjirannya. Namun ketika akad tertahkik, cinta yang kurasai ini, ibarat hujan yang turun secara tenang dan damai, membasahi tanah sahara yang kekontangan. Menyimbahi tumbuhan yang kekeringan. Ia memberi sinar di pagi hari, menyuluh kegelapan di waktu malam.
Dan aku tidak katakan cintaku pada dakwah, pada Allah, dan pada akhawat berkurang kerana aku menyintai seorang lelaki yang Allah jodohkan buatku. Malah cinta itu bertambah, menolak motivasi dan melimpah ruah. Kerana cinta itu terlalu istimewa. Ia boleh meletakkan jiwa kita di tempat teratas, atau menjadikan kita manusia yang amat hina sekali.
Aku tidak mengatakan cinta itu salah sebelum perkahwinan. Cuma kelemahan aku sendiri, aku pasti, jika cinta itu sebelum terjadinya akad, pasti aku akan menjadi manusia yang hina di sisi Allah. Kerana aku tahu, ketika pintu hatiku terbuka untuk sebuah cinta, limpahannya akan mengairi seluruh lautan yang wujud di muka bumi ini.
Tentu pernah kita dengar, sesorang wanita sanggup membuat apa sahaja kerana cinta, menyerahkan tubuh, menjual harta, hanya kerana seorang lelaki yang belum menjadi miliknya.
Dan indahnya cinta itu apabila ianya diberikan buat yang hak. Kerana ia sentiasa diiringi doa dan barakah. Tentu banyak rahsia Allah yang tidak kita ketahui dalam hidup ini. tentu akhir perjalanan kita takkan kita ketahui akhirnya.  Namun kita sentiasa perlu positif, meraih yang terbaik dalam hidup kita, dan memaknai setiap kenikmatan dan kebahagiaan yang Allah rezekikan untuk kita.
Alangkah indahnya bila segalanya kerana Allah. Bercinta pun dapat pahala!
"Mahukah kamu aku beritahu dari hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seorang lelaki?" Iaitu isteri yang solehah. Jika suami melihat kepadanya dia akan gembira , jika suaminya menyuruh sesuatu dia akan taati dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara kehormatan dirinya." - (HR:Ibnu Majah)
Rasulullah bersabda lagi:
"Jika diizinkan seorang manusia sujud kepada manusia, tentu aku akan suruh wanita-wanita sujud kepada suaminya lantaran begitu besar Allah jadikan hak lelaki keatas wanita."

Cinta Kepada Allah

Dia ingin berubah. Dia ingin jadi seperti dahulu. Sentiasa mengingati Allah, sentiasa takut akan azab-Nya, sentiasa taat pada perintahn-Nya, dan sentiasa jaga batas pergaulan. Dia yakin dan percaya, perempuan yang dijaga oleh Allah, pasti tidak akan membenarkan mana-mana tangan lelaki menyentuh dirinya.
Namun, takala dia merasakan dirinya cukup bahagia dengan hidayah Allah, Allah menguji dirinya. Allah menghadirkan dirinya dengan seorang lelaki yang menuntut balasan cinta. Dirinya dimewahkan dengan kata-kata pujian, dengan gurindam rindu dan madah-madah cinta yang sebelum ini tidak pernah meneroka hati dan jiwanya.
Dia percaya cinta dari Allah, tapi dia lupa itu bukan caranya. Dia alpa. Hatinya sudah tidak seperti dahulu. Hatinya dilimpahi rasa rindu si jejaka. Rindu si nafsu yang mengwar-warkan kemanisan cinta manusia. Bukan dia tidak sedar dia sudah berubah, bukan juga dia tidak sedar bahawa ketenangan hati yang pernah dianugerahkan oleh Allah semakin menjauhi. Dia menutup kesedaran itu dengan janji dan kata-kata cinta si jejaka.
Dia sudah jauh dari hidayah Allah. Imannya rapuh, syaitan menari-nari tatkala dia membenarkan tangan rakus si jejaka menyentuh dirinya bersama alunan syahdu janji kekasih. Tempat yang sepatutnya dia jaga, didedahkan. Kononnya yakin si jejaka adalah suaminya.
Tidakkah dia takut dengan dosa atau dengan azab Allah?. Ya, dia sedar tetapi separa sedar. Rasa sayangnya pada jejaka itu mulai melebihi segalanya. Namun, syukur pada Allah, Allah masih sayang padanya. Jejaka itu gagal menawan mahkota dirinya. Saat dirinya berutus cinta, dia masih lagi solat, dia tidak lupa tanggungjawabnya. Namun mungkin solatnya masih tidak sempurna lalu robohlah benteng imannya dipukul ombak nafsu cinta manusia.
Allamdullilah. Allah menurunkan hidayah pada dirinya. Di saat jejaka menyepikan diri seketika, dirinya dilanda rasa berdosa. Mengingati kembali dosa-dosa yang dilakukan, mengalir air mata kekesalan. Disaksikan kegelapan malam, dia bangun untuk bersolat taubat. Menangislah dirinya sepuas-puasnya. Dia memohon petunjuk pada Allah, dia ingin kembali, kembali atas cinta. Demi cinta Allah yang tidak pernah berpaling dari hidupnya dia nekad untuk berubah. Namun hatinya sedikit takut akan janji Allah.
"Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan begitu sebaliknya."
Apa yang patut dia lakukan kini. Dia mula merasakan dia bukan dari kalangan wanita yang baik-baik. Tidak layak untuk sesiapa. Dia menutup pintu hatinya seketika dari cinta manusia yang bernafsu yang mengeruhkan kolam keimanannya yang pasang surut. Sehingga ditakdirkan Allah untuk dirinya bertemu dengan seseorang yang mencintainya kerana Allah.
"Demi cinta Allah yang ku kejar, kuatkan hatiku untuk bertahan, berikan ku kecerdasan akal untuk sentiasa berfikir tentang kuasaMu, hulurkan pertolonganMu di saat-saat aku hampir tewas, sinarkan nur hidayahMu untuk aku terus di jalanMu. Ya Allah! Aku memohon keampunan kepadaMu."

iluvislam-Pelindung Atau Perosak

Lelaki yang bijak sentiasa berusaha menjadi pelindung kepada wanita.
Lelaki yang bijak takkan meminta dan mengharapkan sesuatu yang belum menjadi haknya.
Lelaki yang bijak sentiasa menjaga pandangan mata dan hatinya.
Lelaki yang bijak menyedari bahawa seorang perempuan itu hanya mahu dirinya dihormati.
Lelaki yang bijak hanya mahukan wanita yang terbaik untuk menjadi suri hidupnya.
Bagaimana seorang lelaki dapat menjadi pelindung terbaik bagi wanita? Adakah dengan menghubungi wanita itu selalu, bertanyakan khabar, mengajaknya pergi makan supaya dia tahu si gadis makan mengikut masa, atau dengan mengucapkan kata-kata sayang?
Saya hendak berkongsi sebuah kisah benar berkenaan seorang sahabat yang sering risau akan keadaan dirinya yang masih single and available. Risau bila dikatakan tidak mengikut trend. Risau bila huluran ikhlasnya tidak disambut oleh gadis yang dipuja. Sering merasakan dirinya LOSER kerana kononnya tak ada perempuan nak mahu padanya, sikit-sikit kena reject saja. Geli hatiku. Sampai begitu sekali fikirannya parah.
Persoalannya, adakah dengan SMS selalu, rajin bertanya khabar, dan rajin segala dapat menjamin dia menjadi pelindung atau hero paling hebat kepada wanita tersebut? Sekali kita mulakan langkah. pasti akan membawa kepada langkah seterusnya. One thing leads to another. Silap-silap lebih menjadi perosak daripada pelindung.
"Merosakkan?"
Yalah. Merosakkan dengan menambah saham dosa yang ditanggung oleh perempuan. Pelindungkah?
Merosakkan dengan setiap tindakannya yang akhirnya membuatkan perempuan tersebut gila bayang padanya hingga melupakan yang mana langit dan yang mana bumi.
Pelindungkah?
Merosakkan dengan membuatkan perempuan itu merasakan setiap perbuatan yang dilakukan untuk 'mengeratkan hubungan' itu supaya terasa 'enak dan indah' walaupun hakikatnya masing-masing menyedari diri terjerumus dalam kancah dosa.
Pelindungkah?
Merosakkan dengan membuatkan diri anda dan diri orang yang 'disayangi', buah hati pengarang jantung berenang-renang dalam lautan dosa tatkala anda sedar tidak mampu memberikan sesuatu yang halal kepadanya.
Pelindungkah?
Merosakkan akhirnya hanya kerana pada awalnya telah MEMULAKAN.
Pelindungkah?
Jadilah pelindung kepada kaum Hawa dengan tidak memandang kami.
Jadilah pelindung kepada kami dengan menambahkan ilmu dengan amalmu,
supaya nanti pabila tiba masanya, dapat kalian menjadi pemimpin keluarga yang dihormati.
Jadilah pelindung kepada kami dengan menjaga sebaik-baiknya akhlakmu.
Jadilah pelindung yang terbaik dengan mencontohi Rasulmu!
Mahu menjadi pelindung? Mintalah pertolongan kepada Allah semoga Dia sentiasa melindungi. Kita hanya manusia biasa yang tidak berdaya. Di saat anda masih belum mampu, cukuplah dengan meminta Dia yang melindungi dan memerhati. Kita manusia dengan pelbagai keterbatasan, takkan mampu untuk menjadi superhero paling sempurna kerana tiada yang sempurna melainkan-Nya. Jadilah lelaki pintar yang sentiasa bijak menilai.
Lelaki yang pintar sentiasa risau dirinya akan membawa fitnah kepada wanita,
Lelaki yang pintar tidak akan sekali-kali gentar apabila seorang wanita bertindak tegas terhadapnya kerana dia sedar itulah wanita sejati!
Yang mempunyai harga diri, yang takut kepada Ilahi.
Lelaki yang pintar takkan risau dan gusar dengan status 'single' kerana dia tahu dengan izin-Nya kelak dia akan berjabat dengan seorang wali yang bakal memberikan titik noktah kepada status tersebut!
Wahai ar-rijal, bangkitlah kalian. Anda dikurniakan kelebihan berbanding kami, gunakanlah kelebihan tersebut. Janganlah ambil sifat kami. Kami insan lemah, anda yang harus kuat!
Jangan mengharapkan sesuatu yang kami tidak mampu beri.
Jadilah kalian pelindung yang sejati,
agar kita senantiasa berada dalam reda Ilahi,
sampai tiba saatnya nanti...
Soallah diri kita, kenapa kita masih belum mampu melaksanakan suruhan-Nya sedangkan kita tahu apa yang benar?
Soallah diri kita, apa guna kita mengharap syurga seandainya perintah yang disuruh-Nya tidak mahu dilakukan malah dipandang sipi dan diabaikan?
Soallah diri kita, jika setiap muslim sudah dijanjikan syurga, yakinkah kita akan meninggalkan dunia ini dengan husnul khatimah? Yakinkah kita akan meninggalkan dunia sebagai muslim? Yakinkah kita syurga milik kita? Yakinkah?
Soallah diri kita, andaipun syurga dijanjikan kepada kita, sanggupkah kita mengharungi neraka sebelum menjejak ke syurga lantaran "hutang" kita terhadap Sang Pencipta yang belum langsai? Sanggupkah?
Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:"Sesungguhnya Allah Ta'ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta'ala berfirman: (Wahai para Rasul!) Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh. Dan Allah Ta'ala berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman!) Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu. Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?" (Hadis riwayat lmam Muslim)
Bagaimana mungkin doa kita untuk ke syurga dimakbulkan andainya Allah memalingkan pandangan-Nya daripada kita lantaran 'haram' yang kita 'halal'kan? Kita yang muda kena sentiasa beringat bahawa kita merupakan harapan agama. Banyak lagi cabaran yang harus dihadapi dalam hidup ini, banyak lagi tanggungjawab yang menanti. Tolaklah ketepi perkara-perkara remeh yang tidak membawa manfaat kepada diri dan 'kawan' melainkan KEROSAKAN sahaja.
Lelaki yang baik takkan berusaha mendekati,
meskipun dengan niat yang suci,
kerana dia sentiasa menyedari,
niat mungkin terpesong sekalipun begitu murni,
kerana dia mengakui,
makhluk bertanduk dua sentiasa "ready"!
Ingatlah, Dia jua yang Maha Memerhati.
Fikirkan dengan akal, renungkan dengan hati. Tolak tepi nafsu di hati yang mengaburi hati kita daripada menilai yang baik dan buruk, kerana hati tidak pernah menipu.
Wabishah bin Ma'bad berkata: Aku mendatangi Rasulullah, dan baginda bertanya "Engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?"
Aku menjawab, "Ya, benar."
Baginda bersabda, "Tanyakan pada hatimu sendiri! Kebaikan adalah sesuatu yang membuat jiwamu tenang dan hatimu tenteram, sedangkan dosa adalah sesuatu yang menimbulkan keraguan dalam jiwa dan rasa gundah dalam dada, meski telah berulang kali manusia memberi fatwa kepadamu."
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
Tiada gunanya segala apa yang diperkatakan andainya hati kita tertutup daripada kebenaran. Bersihkanlah hati kita, sesungguhnya itulah anggota yang paling berharga. Disebabkan kerosakan hati itulah berlakunya kerosakan-kerosakan yang lain. Rajin-rajinkanlah membersihkan hati.

Kepimpinan BerTuhan

Kepimpinan BerTuhan

Persoalan yang sering timbul adalah memahami takrifan zuhud itu sendiri.  Sebelum kita pergi lebih jauh dengan apa yang diertikan dengan kepimpinan berTuhan maka lebih indah seandainya kita dapat mengupas pengertian zuhud itu sendiri.  Jika dilihat dari sudut bahasa zuhud membawa pengertian berpaling dari sesuatu kerana hinanya sesuatu tersebut dan kerana seseorang tidak memerlukannya.
Menurut Hasan Al-Basri pula "zuhud itu bukanlah mengharamkan yang halal atau mensia-siakan harta,  akan tetapi zuhud di dunia adalah kamu lebih mempercayai apa yang ada di tangan Allah daripada apa yang ada di tangan kamu. Keadaan kamu antara ketika ditimpa musibah dan tidak adalah sama sahaja, sebagaimana sama sahaja di mata kamu antara orang yang memuji kamu dengan yang mencela kamu dalam kebenaran."
Seringkali kita mendengar bahawa zuhud ditakrifkan dengan meninggalkan hal-hal duniawi sedangkan makna lebih jelas adalah mendahulukan Allah dalam segala hal.  Kepimpinan berTuhan yang diamalkan oleh Umar Abdul Aziz adalah satu bentuk kepimpinan yang mendahulukan Allah swt dalam semua hal.
Maka corak pemerintahannya menjadikan keadaan ketika itu bercukupan hinggakan mencari orang untuk diagihkan zakat juga agak sukar.  Kepimpinan berTuhan ini perlu dimulakan dari diri sendiri terlebih dahulu.  Kita perlu menjadi khalifah kepada diri kita sendiri.  Dalam hal ini, kita perlu tahu juga untuk membezakan kepentingan sesuatu hal, contohnya Umar menggunakan dua pelita yang satunya untuk negara dan satu lagi untuk diri sendiri.

iluvislam-Kerana di situlah keindahan Hidup

Sering saya ungkapkan takdir sentiasa mengatasi tadbir. Justeru takdir itu daripada Allah Yang Maha Perkasa manakala tadbir daripada manusia yang lemah tidak berdaya.
Namun itu bukan bererti kita lemah dan pasrah... jadi "Jabariah" dalam hidup itu.
Atau mengaku super hingga terjebak dalam "Qadariah" ketika merasakan diri bebas daripada ikatan Allah.
Kita umat pertengahan - ahli sunnah yang gigih mengatur sebaik tadbir, sekali gus menghulur setulus doa untuk dikurniakan Allah sebaik takdir!
Sejak awal tahun lagi saya ditakdirkan banyak bersama remaja. Daripada anak-anak sendiri, mahasiswa IPTA dan IPTS , ekskutif, usahawan sehinggalah pengacara TV.
Banyak yang saya sampaikan dan banyak juga yang saya belajar.
Saya bersyukur kerana jiwa jadi lebih dinamik dan bertenaga ketika diterjah oleh pelbagai persoalan oleh mereka.
Antara soalan yang kerap ditanyakan ialah apa yang hendak kita lakukan apabila ada sahaja yang tidak kena dalam hidup ini.
Ada ketika-ketikanya, kita terasa apa yang dibuatnya serba tidak kena.
Pada hari, minggu atau bulan yang malang itu, kecelakaan seolah-olah datang timpa menimpa.
Bangun Subuh lewat, baca Quran luput, solat resah, dimarahi oleh bos, duit gaji lambat, bergaduh dengan kawan, tayar motosikal meletup dan macam-macam lagi.
Jadi, kalau demikian halnya, apa yang sebenarnya tidak kena?
Dan bagaimana hendak membetulkan keadaan? Hendak bermula dari mana? Wah, pening kepala dibuatnya.

Ubah keadaan luaran atau ubah diri sendiri?

Mungkin anda juga pernah mengalami situasi begini, dan tentu sahaja kita tercari-cari panduan bagaimana hendak membetulkan semula semua keadaan yang bercelaru itu?
Dalam apa jua keadaan, remaja hendaklah faham bahawa bila keadaan tidak seperti yang diingini, langkah kita bukanlah mengubah keadaan itu tetapi terlebih dahulu mengubah diri kita sendiri.
Ramai orang tersilap, justeru mereka hendak mengubah keadaan luaran sebelum mengubah diri sendiri.
Sunahtullahnya tidak begitu.
Dalam apa jua kondisi, mengubah diri itu perlu diutamakan kerana itulah yang akan mengubah keadaan yang kita hadapi.
Jadi, apabila berdepan dengan masalah kewangan, dimarah ayah-ibu, tayar motor yang meletup, bergaduh dengan kawan-kawan... hendaklah diingat, ubahlah diri kita sebelum cuba mengubah perkara-perkara yang di luar diri kita.
Pertama, remaja perlulah memahami bahawa kehidupan ini disusun dengan satu peraturan yang sangat rapi dan saling berkait rapat antara satu sama lain.
Peraturan ini dinamakan Sunnatullah.
Barat menamakannya 'law of nature'. Hukum Sunnatullah ini juga dikenali sebagai 'cause and effect' (sebab dan akibat).
Hukum ini bukan sahaja berlaku dalam bidang fizik, biologi, ekonomi dan lain-lain.
Malah ia juga berlaku dalam putaran kehidupan. Allah swt telah mengaturkan bahawa setiap akibat yang berlaku mesti mempunyai sebab atau punca.
Jika seseorang itu bersedih, tentu terdapat sebab-sebab yang menyebabkan dia bersedih.
Jika dia gembira, tentu terdapat sebab-sebab yang menyebabkan kegembiraan itu.
Oleh itu jika kita dapati kehidupan kita seperti serba tidak kena, maka hendaklah kita akui bahawa mesti terdapat sesuatu sebab yang menyebabkan keadaan yang serba tidak kena itu.
Sebelum mencari di mana penyebabnya, kita hendaklah terlebih dahulu mengakui akan ujudnya penyebab itu.

Membuang sikap ego

Tidak mungkin kita akan menemui sesuatu yang kita cari jika kita menafikan akan kewujudannya.
Jadi, langkah awal mengubat sesuatu yang tidak kena ini ialah membuang sikap ego.
Maksud ego di sini ialah kita mengatakan atau menganggap tiada 'penyebab-penyebab' pada keadaan yang serba tidak kena itu.
Ramai antara kita yang merasa ego, dengan berkata, "entahlah... saya tidak tahu apa yang tidak kena lagi, semuanya sudah saya lakukan, tapi gagal juga.
Dah nasib..." Atau ada yang berkata, " tak mungkin jadi begini, semuanya sudah ok sejak mula, tiba-tiba sahaja jadi begini?"
Cakap-cakap yang seumpama ini sungguhpun biasa kita dengar namun, jika diteliti ia jelas bermaksud yang penuturnya seolah-olah tidak mahu mengakui ada kesalahan yang menyebabkan sesuatu yang negatif berlaku.
Ada juga orang yang mengakui adanya penyebab-penyebab tertentu tetapi penyebab itu adalah orang lain. Bukan dirinya. Ini juga satu petanda ego.
"Saya tidak salah, yang salah bapa saya, kawan saya, motor saya..." Ketahuilah, sikap reaktif ini tidak akan menyelesaikan masalah.
Bahkan akan menambah masalah. Apa yang perlu kita cari ialah kesalahan diri kita sendiri.

Kehidupan kita, pilihan kita

Kita tidak boleh terus menyalahkan orang lain di atas apa yang menimpa kita. Hidup kita adalah tanggung jawab kita justeru apa yang berlaku dalam kehidupan adalah pilihan kita sebenarnya.
Orang boleh menimpakan sesuatu ke atas kita, hanya apabila kita 'mengizinkan' ia berlaku. Yang menyebabkan kita susah hati, bukan kemarahan teman-teman, tetapi apabila kita mengizinkan kemarahan teman itu menyusahkan diri kita.
Secara pro-aktif, kita boleh memilih respon kita pada sebarang situasi dalam hidup... Bila dimarahi, kita boleh memilih untuk sabar dan berdiam diri, atau marah dan bertindak-balas... terpulang!
Kitalah yang menjadi penyebab utama kepada berlakunya sesuatu akibat.
Kita perlu mengetahui, mengetahui dan mencari kesalahan itu dalam diri sendiri.
Oleh itu, bila ditimpa masalah maka muhasabah tentang perlakuan kita di semua dimensi.
Dimensi hubungan kita dengan Tuhan, manusia, pekerjaan, kewangan, kesihatan, tanggung jawab dan peranan yang telah diamanahkan bagi kita melaksanakannya.
Telitilah terlebih dahulu soal-soal besar dalam hidup kita tetapi jangan lupa... soal-soal kecil juga kadangkala memberi impak besar untuk menyumbangkan sesuatu yang tidak kena dalam kehidupan.

Kecil-kecil dan beransur-ansur

Sekali lagi diingatkan, dalam mencari penyebab-penyebab atau punca-punca masalah, kita jangan hanya bertumpu mencari penyebab-penyebab yang besar.
Sebaliknya carilah penyebab-penyebab yang kecil-kecil. Kita boleh umpamakan diri sebagai seseorang yang sedang berjalan.
Jarang orang terjatuh akibat terlanggar batu-batu besar.
Sebaliknya ramai yang terjatuh apabila terpijak batu-batu kecil, kulit pisang dan sebagainya. Penyebab-penyebab yang kecil sebenarnya boleh memberi 'impak' atau kesan yang beransur-ansur.
Kita mungkin tidak nampak atau tidak perasan pada awalnya, tetapi secara tiba-tiba sahaja keadaan sudah menjadi buruk.
Ingatlah, menyelesaikan masalah harus dilakukan persis bagaimana ia bermula.
Contohnya, berat badan kita tidak menambah 10 kilogram dalam jangka masa sehari dua.
Tetapi ia bertambah sedikit demi sedikit. Maka, untuk mengatasi masalah berat badan itu, tindakan untuk mengurangkannya pun mesti dilakukan secara beransur-ansur.
Adalah mustahil untuk mengubahnya secara mendadak.
Sesuatu yang runtuh secara beransur-ansur perlu dibina secara beransur-ansur juga. Barulah tindakan kita nanti akan berhasil.
Misalnya kita menghadapi masalah bajet yang tersasar daripada apa yang ditetapkan. Kita perlu sedar bahawa kebiasaannya 'terlebih bajet' ini bukanlah disebabkan 'kebocoran' perbelanjaan yang besar-besar.
Sebaliknya ia berpunca daripada sikap tidak mengambil berat perbelanjaan yang kecil-kecil – yakni wang yang kita keluarkan untuk membeli barang-barang yang tidak perlu tetapi murah harganya secara tidak menentu masanya.
Perbuatan inilah yang sebenarnya memberi kesan besar yang buruk kepada bajet kita.
Tawaran harga murah pada sesuatu barang menyebabkan kita mula hilang pertimbangan dan mula membeli bukan atas dasar keperluan, tetapi sebab murahnya barangan itu.
Begitu juga buat remaja yang menghadapi masalah kegemukan. Kegemukan tidak pernah berlaku secara drastik.
Ia berlaku secara beransur-ansur hingga ke satu tahap, barulah kita terkesan bahawa berat badan kita sudah 'over'.
Jangan cuba mengubahnya secara mendadak.
Kita pun mula bersenam secara 'maraton', menjalani skim diet yang terlalu ketat dan macam-macam lagi tindakan yang agresif dan ekstrem.
Apa jadi akhirnya? Kita kecewa, kita mengalah dan akhirnya berputus asa bila melihat kesannya tidak seberapa.
Ya, segalanya perlu diubah secara perlahan-lahan, misalnya dengan mengubah cara pengambilan makanan, menukar kepada menu yang sihat dan bersenam secara ringan tetapi konsisten.
Jangan sekali-kali membiarkan perut kosong pada jangka waktu yang lama, ini akan menyebabkan kita mudah mendapat penyakit ulser atau gastrik pula.
Oleh itu, bertindaklah secara bijak dan beransur-ansur. Ini lebih ringan dan realistik untuk mengubah keadaan! Seperkara lagi ketika hendak memulakan sesuatu proses perubahan, jangan sesekali kita memikirkan kesempurnaan.
Kelak, kita mungkin tidak akan memulakannya langsung. Oleh itu, bermulalah dengan membuat perkara-perkara yang kecil dahulu.
Untuk memperbaharui penampilan diri misalnya, janganlah diharapkan wajah, bentuk dan gaya anda seperti bintang filem dalam masa yang singkat.
Anda akan kecewa jika mengimpikan kesempurnaan yang semacam itu. Sebaliknya, buatlah yang terbaik pada skala diri anda sendiri. Jangan bandingkan kita dengan orang lain secara tidak sihat.
Cuba bayangkan penampilan diri sendiri yang paling bergaya, cantik dan menarik – jadilah anda yang terbaik.
Itu pun secara beransur-ansur. Jangan mengharapkan kesempurnaan, kerana ini akan membantutkan semangat anda untuk menangani masalah penampilan diri itu.
Elakkan daripada cepat berputus asa dan hendak melihat hasil yang segera.
Jangan naik anak-tangga secara berlari. Ada kalanya perubahan yang kita telah berbuat itu sudah pun menunjukkan kesannya, cuma ia belum kelihatan.
Konsep ini sama seperti ketika kita hendak mencairkan air batu dengan cara memanaskannya.
Menurut hukum fizik, sekiranya mula memanaskannya, molekul-molekul air itu sudah pun bergerak.
Tapi sedikit demi sedikit. Pada mulanya ia seakan-akan tidak ada tindak balas tetapi lama kelamaan, air batu tiba-tiba terus retak dan mula mencair.
Ya, barulah kesannya nampak, walaupun sejak mula memanaskannya tadi, sebenarnya itu telah pun memberi kesan, cuma tidak nampak...
Ingat, sikap hendak melihat kesan yang cepat menyebabkan kita mudah kecewa dan patah semangat di sekerat jalan.
Akhirnya, kita perlu sedar, hidup ini bagaikan satu siri gelombang yang datang secara bergilir-gilir.
Ada ketikanya, gelombang kecil dan tenang dan ada ketikanya gelombang itu besar dan ganas.
Pada ketika gelombang itu ganaslah, semuanya terasa serba tidak kena. Tuhan menetapkan bahawa setiap manusia itu tidak akan mendapat kesenangan sahaja atau kesusahan sahaja. Masing-masing daripada kita akan mengalami pasang-surut dalam hidup – ada masa senang, ada masa susah.
Justeru dalam kehidupan ini, kita tidak boleh terlalu gembira kerana selepas kegembiraan itu mungkin muncul kesusahan.
Begitu juga kita tidak boleh terlalu sedih bila kesusahan kerana mungkin selepas itu Allah swt datangkan perkara-perkara yang menggembirakan.
Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini akan memberi ketenangan dalam hidup.
Apabila kita ditimpa kesusahan, rasakan dalam hari... ya, selepas ini akan datang kesenangan. Sabarlah sebentar.
Dan apabila datang kesedaran, kita tetap tidak alpa... ya, selepas ini akan datang kesusahan.
Bersiap-sedialah. Hakikatnya, tidak ada kesenangan dan kesusahan yang abadi di dunia ini.
Kehidupan adalah satu perubahan yang berterusan...
Cabaran kita bukan untuk mengawal perubahan itu tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan diri dalam setiap keadaan yang berubah-ubah itu. Fahamilah hakikat ini.
Bila yang dibuat 'serba tidak kena' itulah hakikatnya satu kehidupan. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah. Hidup tidak selalu indah, justeru di situlah keindahan hidup!

iluvislam-Panji Para Pahlawan

Wahai Kaum Muslimin..
Junjungan besar kita, Nabi Muhammad saw bersabda, dari Ibnu Abbas ra ,
"Al-Liwa'uha baidho' wa ar-rayatuha sauda'!"
"Bahawa bendera Nabi Sallallahu 'alaihi wa Sallam berwarna putih, sedangkan panji beliau warnanya hitam."
Inilah panji mulia yang diperjuangkan oleh Rasulullah saw, para Sahabat radhiallahu anhum dan para Khalifah yang berani menentang kebiadaban puak kuffar.
Inilah panji Rasulullah saw yang dipertahankan dengan darah dan nyawa sahabat terkenal, Ja'far bin Abi Thalib ketika perang Mu'tah dimana umat Islam yang hanya mempunyai kekuatan 3000 orang menentang kekuatan Rom dan seluruh penduduk jazirah Arab yang berjumlah 200,000. Suatu nisbah yang tidak masuk akal, 1 nisbah 6.
Seorang tentera kaum muslimin terpaksa berhadapan dengan 6 orang tentera kuffar! Di dalam peperangan ini, Ja'far bin Abi Thalib yang di amanahkan oleh Rasullah saw untuk menjadi Amirul Jihad mengepalai kaum muslimin telah ditebas tangan kirinya yang memegang teguh panji Ar-Royah! Langsung disambut oleh tangan kanan beliau!
Kemudian tangan kanannya pula dipotong tanpa belas kasihan, Ja'far bin Abi Thalib tidak mengalah, malah memeluknya dengan sisa tangan yang ada. MasyaALLAH, sahabat mulia ini akhirnya dilempar dengan lembing daripada belakang sehingga terbelah badan beliau syahid di medan peperangan! Rasulullah saw menganugerahkan gelaran Ja'far Al-Janahain kepada beliau, iaitu Ja'far yang mempunyai dua kepak yang kini sedang bebas berterbangan di jannatul Firdaus,
MashaAllah! Inilah hasilnya setelah bermati-matian memperjuangkan panji Rasulullah saw. Ganjaran ini tidak mungkin didapati oleh tentera-tentera Turki, Pakistan, dan Malaysia yang bermati-matian berperang di Afghanistan di bawah panji kotor Amerika!
Bendera Jalur Gemilang juga tidak layak untuk dimuliakan oleh kita sebagai umat Islam yang mengucapkan kalimah Laa ilaha illallah, muhammdur Rasulullah. Bendera Jalur Gemilang ini adalah sebuah bendera yang dihasilkan melalui sebuah pertandingan yang telah mendapat kelulusan King George Vl pada tahun 1950! Maka tidak hairanlah kita kalau selama ini kita melihat bendera kita ini benar-benar mirip bendera Amerika.
Subhanallah!
Panji inilah juga yang diperjuangkan oleh Panglima Perang Thariq bin Ziyad di zaman Khilafah Umaiyah yang telah memimpin futuhat ke atas Sepanyol pada tahun 711M. Setelah mendarat di sebuah tempat yang kemudiannya di namakan Jabal Thariq, beliau memerintahkan untuk membakar semua kapal dan berpidato di hadapan anak buahnya untuk membangkitkan semangat mereka:
"Tidak ada jalan untuk melarikan diri! Laut di belakang kalian, dan musuh di depan kalian: Demi Allah, tidak ada yang dapat kalian sekarang lakukan kecuali bersungguh-sungguh penuh keikhlasan dan kesabaran."
Pasukan Thariq yang hanya berjumlah 7000 orang, terus menyerbu ke benteng pertahanan puak kufar di wilayah Sepanyol yang mempunyai kekuatan berjumlah 25,000 orang tidak sekali-kali mematahkan semangat mereka kerana sudah tidak ada apa-apa lagi yang perlu dirisaukan, jika mereka memenangi pertarungan ini, kaum muslimin akan mendapatkan kemuliaan, dan sekiranya mereka mati, mereka akan dinobatkan oleh Allah sebagai syuhada' fi sabilillah. Dengan berkat keimanan dan semangat mereka mengibarkan panji Rasulullah saw, Umat Islam menyebarkan cahaya Islam ke seluruh Sepanyol selama lebih dari 700 tahun lamanya!
Panji inilah juga yang diangkat tinggi oleh Pahlawan Agung Shalahuddin Al-Ayyubi ketika menghadapi tentera Salib yang diketuai King Richard di dalam perang Hittin. Tentera Salib dengan sewenang-wenangnya menumpahkan darah kaum muslimin di Baitul Maqdis dan berpesta arak di atas mayat-mayat kaum muslimin yang darahnya mencecah sehingga ke lutut. Shalahuddin Al-Ayyubi yang merupakan seorang Muslim berbangsa Kurdish tidak berdiam diri bagi menyelamatkan kehormatan umat Islam yang berbangsa Arab di Baitul Maqdis! Bagi menghadapi kekuatan tentera salib, Shalahuddin Al-Ayyubi terlebih dahulu menyatukan kekuatan umat Islam di Syria, Mesir, Sudan, Yaman, dan Hijaz sehingga berupaya membalas kembali kebiadaban tentera salib yang mengakibatkan 30,000 tentera salib mati dengan hina di tangan tentera umat Islam!
Panji inilah juga yang di junjung tinggi oleh perwira umat Islam, Sultan Muhammad Al-Fatih ketika membuka kota Konstantinople yang menjadi kubu kuat Rom Byzantium! Rasulullah saw pernah mengkhabarkan kepada kita di dalam hadithnya ketika sedang menggali Parit Khandaq;
"..Konstantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Amirnya adalah sebaik-baik Amir, tenteranya adalah sebaik-baik tentera......" (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Panji inilah juga yang dibawa oleh Sultan Saifuddin Qutuz yang memerangi tentera Monggol di dalam peperangan Ain Jalut, dalam rangka membalas dendam darah 1.8 juta kaum muslimin yang ditumpahkan di Baghdad! Tentera Monggol yang tidak pernah kalah ketika itu yang menguasai jajahan seluas Poland sehingga Korea menjadi kegerunan manusia seluruh dunia memberikan pilihan kepada Qutuz samada berperang atau menyerah. Saifuddin Qutuz tidak melakukan hal yang menghinakan umat Islam sepertimana pemimpin umat Islam saat ini yang melakukan perjanjian damai dan bersalaman dengan musuh yang tangannya penuh dengan darah umat Islam. Namun Saifuddin Qutuz bangkit mengembalikan maruah umat Islam yang dicalar oleh puak kuffar monggol! Malah beliau menempelak pemimpin-pemimpin yang takut menghadapi musuh dengan berkata:
"Wahai pimpinan muslimin! Kamu diberi gaji dari Baitul Mal sedangkan kamu tidak suka berperang. Aku akan pergi berperang. Sesiapa yang memilih untuk berjihad, temankan aku. Sesiapa yang tidak mahu berjihad, baliklah ke rumahnya. Allah akan memerhatikannya. Dosa kehormatan muslimin yang dicabuli akan ditanggung oleh orang yang tidak turut berjihad."
Wahai Kaum Muslimin!
Telah nyata keberanian nenek moyang kalian! Mereka merupakan para pahlawan yang sanggup berjuang dan siap mati demi Islam! Dan telah nyata pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin kalian yang ada pada hari ini! Mereka malah menjadi agen, menjadi hamba yang menuruti arahannya Amerika Syarikat. Mereka memberikan segala bahan galian kepunyaan umat iaitu minyak kepada Amerika dengan harga yang murah, mereka memberikan tanah-tanah umat kepada Amerika untuk membuat pangkalan tentera para syaitan yang memusuhi Allah, mereka memberikan ruang udara kita bagi mengebom saudara kita sendiri.  Mereka menghulurkan tangan berjabat mesra dengan tangan pemimpin nombor satu umat Islam yang penuh dengan darah anak-anak Palestin, Iraq, dan Afghanistan! Apakah ini pemimpin-pemimpin seperti ini kita inginkan? Ayuh bertindak melakukan perubahan.

iluvislam-Duhai Wanita Yg Indah

Aduhai wanita... sungguh mahal dirimu di mata lelaki, tetapi mengapa masih ada lagi yang tidak menyedari? Dirimu sungguh agung di mata lelaki dan terlalu mulia di sisi Penciptamu. Namun itu semua hanya jika kau tahu mengagungkan dan memuliakan dirimu sendiri.
Menjadi wanita adalah satu anugerah yang paling indah. Seharum mana pun wangian kasturi tidak mampu menandingi wangian budi pekertimu, lembutnya gumpalan kapas masih tewas dek kelembutan tingkahmu. Halusnya butiran pasir yang menjadi peneman setia si pantai masih tidak dapat menandingi halusnya tuturmu.
Duhai wanita... Sebenarnya maruah diri yang kau galas lebih berat daripada bongkah-bongkah batu yang besar. Kau menepis dengan penuh sabar setiap godaan nafsu dunia yang datang bertubi-tubi hingga hampir mengheretmu ke kancah yang penuh onak duri. Percayalah wanita, akan ada bahagia di akhir kesengsaraanmu asal saja kesabaran menjadi bentengmu.
Wanita ku... Terima sahaja cemuhan dan makian yang muncul bederu -deru ibarat halilintar yang singgah di cupingmu, terima saja itu dengan senyuman dan ambil saja sebagai halwa telinga yang mengajarkan mu erti kesabaran. Itu sebenarnya dendangan sumbang dari bibir-bibir sumbing yang ingin melihat mu tersungkur. Percayalah akan ada berita manis yang singgah dicupingmu suatu masa nanti asal saja gunung kesabaranmu tidak pernah kau tarah.
Saudara wanitaku, iman mu adalah perisai, agamamu adalah landasanmu di setiap langkah yang kau atur. Jangan sesekali kau biarkan anasir songsang memperkotak-katikkan imanmu apatah lagi agama yang kau kandung hanya kerana nikmat duniawi semata-mata. Jangan kau gadaikan maruahmu yang tidak ada galang gantinya hanya kerana mengejar sesuatu yang tidak mungkin bisa kau kendong.
Andai kata kau tersungkur, segeralah bangkit dan sekiranya kau tersasar jauh dari landasan hidupmu, atur kembali langkahmu bersama titipan iman dan mulakan dengan langkah yang baru. Sedangkan Sang Jentayu yang kepatahan sayapnya masih bisa hidup bertongkat paruh apatah lagi kau yang dianugerahkan akal fikiran. Jangan bersedih wahai wanita, andai apa yang kau ingini tidak kau beroleh di dunia, percayalah syurga itu sentiasa menantimu.
Bulatnya iman dan taqwa Sumaiyah ketika dihunuskan tombak ditubuhnya, demikian jugalah bulat imanmu harus kepada Penciptamu. Peganglah kata kata ini, "Kau sebenarnya tidak akan tersasar seandainya keimananmu kau jadikan sebagai tunjang dalam kehidupan".
Wanita, biar tawadukmu lebih menggungung daripada kejelitaanmu, biar keayuanmu terpancar dek kerana lemah gemalainya perilaku. Biar kebijaksanaanmu terpampang oleh tingginya ilmumu. Jangan sesaat pun kau lupa setianya Masyitah pada Tuhannya, agungnya kasih Khadijah kepada agamanya dan perjuangan srikandi-srikandi agama terdahulu.
Jadikan agamamu sebagai tunjang yang memperkasakan akidahmu.Biar kesabaranmu menjadi benteng perjuanganmu dan lebarkan imanmu dengan sejuta lapis sifat mahmudah. Jadilah kita wanita paling bahagia.